Malay


Penguin Kecil Eudyptula minor 

Nama saintifik bagi penguin kecil (atau penguin kecil) Eudyptula minor, adalah sangat deskriptif. Bukan sahaja ia merupakan penguin terkecil, malah perkataan Greek ‘Eudyptula’ bermaksud ‘penyelam kecil yang baik’. Burung laut yang tidak boleh terbang ini berkembang biak dalam koloni di sepanjang pantai selatan Autralia iaitu dari Port Stephens di timur sehingga Fremantle di barat. Subspesies ini juga ditemui di New Zealand. Tidak banyak yang diketahui tentang populasi mereka. Walau bagaimanapun, dianggarkan terdapat antara 110,000-190,000 pasangan di Tasmania yang mana kurang 5% terdapat di pulau besar Tasmania. Kebanyakan populasi penguin kecil dapat ditemui di pulau-pulau sekitar. Berat penguin kecil adalah sekitar 1 kilogram dan dapat membesar sehingga 40 sentimeter tinggi dengan purata umur sehingga 6 tahun. Pada satu ketika, umur tertua yang pernah direkodkan adalah 21 tahun.



At Sea
Di Laut

Penguin kecil sangat sesuai dengan kehidupan di laut. Bentuknya yang bergaris arus dan kecekapan dorongan siripnya (digunakan di bawah air seperti burung di udara) membolehkan ia memburu mangsa dengan menyelam antara 10 – 30 meter dan kadangkala sehingga 60 meter. Kakinya yang berselaput amat sesuai untuk berenang di permukaan selain mempunyai kuku untuk menggali dan memanjat batuan licin. Penguin mempunyai mata besar dengan retina yang tersuai untuk mengesan pergerakan dalam cahaya malap.

Tidak seperti manusia, penguin kecil mempunyai kornea yang rata agar dapat melihat dengan jelas di bawah dan di atas air. Seperti penguin dan pelbagai hidupan laut yang lain, penguin kecil menggunakan warna sebagai samaran. Bahagian atas permukaan berwarna gelap seperti warna laut apabila dilihat dari atas manakala bahagian bawah permukaan berwarna putih keperakan seperti pantulan permukaan apabila dilihat dari bawah. Samaran ini membantu penguin mengelak perhatian burung pemangsa dari atas, anjing laut dan ikan jerung dari bawah dan juga bermakna mereka tidak dapat dikesan oleh mangsa. Sesetengah penguin kecil kerap pulang ke sarang mereka sepanjang tahun tetapi kebanyakannya berada di laut sepanjang musim luruh dan sejuk.

Feeding
Makanan

Diet burung penguin berbeza mengikut lokasi tetapi kebanyakannya terdiri daripada kawanan ikan kecil, sotong atau krill (krustasea mirip udang). Mangsa ditangkap dengan tujahan paruh yang bertalu-talu dan ditelan bulat-bulat dengan bantuan gigi-gigi kecil di bahagian atas dalam mulut. Mangsa ditelan bulat-bulat. Makanan disimpan secara berpusat di dalam perut dan bukannya tembolok kerana akan menyebabkan ketidakseimbangan kepada mereka. Penguin kecil perlu memakan lebih kurang 25% dari jumlah berat badan mereka dalam sehari, dan lebih jika memberi makan kepada anak atau bersedia untuk bersalin bulu. Kadangkala mereka akan memakan larva ketam dan kuda laut dari dasar laut.

Colonies and nest sites
Koloni dan sarang


Kebanyakan burung penguin dalam koloni pulang ke sarang dalam kumpulan kecil satu jam selepas gelap bagi mengelak pemangsa seperti burung camar, burung raven dan helang laut. Penguin akan berkumpul sebelum kawasan berombak yang mana akan kedengaran mereka memanggil satu sama lain. Mereka ke pantai secara berkumpulan atas faktor keselamatan. Lebih banyak penguin bermakna lebh banyak mata untuk mengesan pemangsa selain jumlah yang besar juga akan mengelirukan pemangsa. Bagi koloni besar, ratusan penguin akan ke pantai dalam tempoh masa yang singkat. Sarang pada kebiasaannya berada dalam jarak 2 meter dan terdiri dari satu terowong sepanjang 60 – 80 sentimeter dengan ‘mangkuk’ sarang diperbuat dari rumput dan rumpai laut di hujungnya. Terdapat sarang yang dibuat di bawah rumpunan rumput tusok, rangkaian terowong dan juga di celahan batuan pantai. Penguin kecil perlu bersaing dengan burung laut, tikus air, ular dan yang terkini, arnab, untuk bersarang.


Umur 2 hari, 17 hari, 25 hari, 35 hari.

Breeding
Pembiakan 

Antara bulan Jun hingga Ogos, penguin jantan akan pulang untuk mengubah suai sarang lama atau menggali sarang baru. Bunyian dan persembahan penguin jantan untuk memikat menyambut ketibaan penguin betina. Walaupun pasangan telah dipilih, selalunya mereka bukanlah pasangan seumur hidup. Penguin membiak secara bermusim setiap tahun. Di timur Australia, sarang dengan dua telur boleh ditemui seawal bulan Mei atau selewatnya bulan Oktober. Terdapat juga tahun-tahun yang mana dua sarang dibesarkan dalam satu musim, sesuatu yang luar biasa bagi penguin. Pasangan penguin bergilir mengeram telur antara 1-2 hari dan penetasan berlaku pada hari ke-33 hingga 37. Lebih kurang 60% telur berjaya menetas. Semasa menetas, anak penguin berwana hitam dengan berat lebih kurang 25 gram. Kedua-dua ibu bapa memberi makan sehingga separuh dari berat badan mereka sehari dan pada umur 40 hari, berat anak berkemungkinan lebih daripada ibu bapa mereka. Apabila berumur 5 minggu, anak penguin sangat aktif dan akan menunggu di luar sarang untuk diberi makan. Selepas 2 hingga 3 minggu, mereka bersedia untuk ke laut untuk membesar sehingga matang. Dalam 70% anak penguin tiba pada peringkat ini tetapi hanya 15% akan hidup sehingga matang pada umur dua tahun. Kebanyakan penguin matang ini akan kembali ke koloni asal untuk membiak.

Moult
Bersalin bulu 

Selepas membesarkan anak, penguin dewasa akan makan dengan banyak sebagai persediaan untuk bersalin bulu selama dua minggu di pantai. Mereka perlu menambah berat badan sehingga dua kali ganda kerana mereka tidak akan makan atau minum sepanjang proses bersalin bulu. Sekiranya sarang mereka besar, proses bersalin bulu akan berlaku di sarang tetapi sering kali penguin memilih tempat yang lebih luas bagi memudahkan mereka menyelisik bulu dan menggaru. Kawasan tersebut dapat dikenal pasti dengan jelas berdasarkan ribuan bulu yang bertaburan.



Song
Lagu 

Lagu dan persembahan bertujuan memikat pasangan, menghalau penceroboh dan, jika dinyanyikan secara duet, dapat merapatkan lagi pasangan. Lagu khusus setiap individu bermula dengan getaran bes sehingga teriakan mirip trumpet berserta pergerakan sirip, paruh dan badan. Panggilan dan persembahan berbeza dari segi semangat iaitu dari ‘separuh trompet’ sehingga keterujaan bunyi dan gerakan badan. Pada waktu malam, terutama semasa musim pembiakan, bunyi bising koloni penguin boleh mejadi amat kuat.


Seasonal activities
Aktiviti bermusim

Perbezaan bekalan makanan disebabkan perubahan arus lautan atau factor-faktor lain menentukan corak kehidupan setiap populasi penguin kecil tempatan dan mungkin jauh berbeza dengan rajah di bawah. Pada tahun-tahun tertentu, mulai Mei hingga Oktober, penguin akan bertelur dan membesarkan sehingga dua atau tiga sarang dalam satu tahun.


Threats and predation
Ancaman dan pemangsaan 

Perubahan bermusim bekalan makanan semulajadi dari tahun ke tahun menyebabkan banyak anak penguin terdampar, sama ada mati atau dalam keadaan lemah, di pantai kita. Anak penguin juga boleh mati disebabkan cuaca panas dan serangan kutu. Penguin kecil mempunyai banyak pemangsa kerana saiz mereka yang kecil. Kedua-dua anjing laut bulu Australia dan New Zealand memakan penguin kecil, begitu juga anjing laut bertompok. Burung camar yang besar boleh membunuh penguin dan di pesisir pantai, helang laut perut putih menangkap banyak penguin.

Sekitar koloni, tikus air mengambil telur dan anak penguin. Burung raven dan burung pemangsa meronda kawasan koloni mencari telur, anak penguin dan penguin dewasa, begitu juga dengan kucing harimau dan Tasmanian Devil pada malam hari di Pulau Besar Tasmania. Walau bagaimanapun, penguin kecil telah berkembang bersama-sama pemangsa ini dan dapat menghadapi mereka. Pemangsa baru seperti tikus, anjing dan kucing serta ancaman dari manusia adalah masalah yang lebih besar.


 Aktiviti yang tidak bertimbang rasa mencipta masalah tambahan kepada penguin kecil. Mereka berkemungkinan lemas apabila nelayan amatur memasang pukat berhampiran koloni penguin.

Tumpahan minyak memberi kesan buruk kepada penguin dan burung laut yang lain. Bukan sahaja minyak bersifat toksik apabila ditelan, tetapi apungan dan penebatan bulu penguin akan rosak. Plastik ditelan dengan tidak sengaja dan pembungkus botol boleh menjadi tali gantung di leher penguin.

Anjing yang tidak dikawal dan kucing liar membunuh banyak penguin (lebih banyak dari pemangsa semula jadi penguin).

Jika musang berkembang di Tasmania, penguin terpaksa menghadapi satu lagi pemangsa..

Kesan penempatan manusia seperti kematian di jalan raya, gangguan secara terus, pembakaran tanaman dan pembangunan perumahan terus mengancam koloni penguin kecil.

Viewing guidelines
Panduan memerhati

Panduan ini bertujuan untuk memelihara penguin kecil dan membenarkan anda melihat mereka dalam keadaan semula jadi. Sila pastikan anda faham tentang mereka sebelum melawat koloni penguin.

Penguin akan meninggalkan air semasa cahaya terakhir agar mereka diselimuti kegelapan yang memelihara mereka dari pemangsa. Ketika ini, mereka lemah (ingat bahawa mereka menganggap anda sebagai pemangsa) dan oleh itu, sangat berhati-hati. Sekiranya mereka merasa terancam atau diganggu oleh cahaya lampu picit atau bunyi bising, mereka akan menunggu lebih lama di laut. Ini memberikan tekanan kepada mereka dan akan mempengaruhi pembiakan atau menghalang mereka berjumpa anak yang kelaparan di sarang. Jika mereka menunggu di laut, anda mungkin tidak dapat melihat mereka langsung.


It is important
Peringatan penting

Sila baca dan patuhi papan tanda maklumat yang diletakkan di koloni penguin.

Pakai pakaian gelap atau samaran dan yang mengekalkan panas badan anda. Hampiri tempat pemerhatian anda dari darat. Sebaik-baiknya elak dari berjalan di sepanjang pantai kerana ini akan menghalang penguin untuk ke sarang mereka.

Guna laluan sedia ada. Jangan berjalan merentasi koloni kerana ini akan merosakkan sarang. Tolong jangan rosakkan tumbuhan. Pilih tempat pemerhatian sekurang-kurangnya 3 meter dari, dan yang tidak menghalang, laluan penguin ke sarang. Pilih kawasan berlatar gelap sebagai samaran. Duduk dengan selesa sebelum cahaya terakhir. Sekiranya terdapat pekerja berpengalaman, dengar nasihat mereka. Duduk dengan senyap dan kurangkan pergerakan. Penguin mempunyai penglihatan yang tajam dan dapat mengesan pergerakan dengan mudah terutama jika mereka dapat melihat susuk tubuh anda.


Hanya lampu suluh malap yang memancarkan cahaya merah (pelekat merah di lensa adalah dibenarkan) boleh digunakan dan tidak sesekali disuluh terus ke air atau penguin. Denyar (flash) kamera tidak dibenarkan di pantai. Kamera video tanpa lampu boleh digunakan dan memberi hasil yang lebih baik semasa senja berbanding kamera biasa.


Seringkali tempat terbaik melihat penguin adalah di belakang pantai yang mana mereka rasa lebih selamat. Sekali lagi, hanya gunakan lampu merah. Untuk membantu pemerhatian, binokular adalah berguna walaupun pada waktu malam.

Jangan sesekali melawat koloni dengan anjing (atau kucing). Walaupun anjing telah diikat, bau mereka akan melekat dan menarik yang lain. Bawa kembali sisa makanan kerana ini juga akan menarik anjing dan kucing. Penguins adalah hidupan liar terpelihara.


Menangkap, percubaan menangkap ataupun mengganggu penguin adalah haram. Sekiranya anda melihat perkara ini, sila laporkan kepada renjer terdekat. Kesalahan dipandang berat. Jika anda berminat atau prihatin dengan populasi penguin tempatan anda, sila hubungi pejabat Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar terdekat.

SUMBANGAN

Rakan Penguin Lilico bergantung kepada sumbangan untuk beroperasi. Sebarang sumbangan amatlah dihargai dan akan digunakan untuk memelihara Penguin Kecil di Lilico, Tasmania dari bahaya.


Donation to FOLP

Further information
Maklumat Lanjut 

Stahel, C. & Gales, R. (1987). Little Penguins - Little Penguins in Australia. Uni Press, Kensington, NSW.

Hubungi Biodiversity Conservation Branch: DPIW 134 Macquarie Street, Hobart. 7000
Phone: (03) 6233 6556 Fax: (03) 6233 3477

____________________________________
Kindly translated by Linahardy

No comments:

Post a Comment